Morsin, Marlia (2014) Pembangunan sensor asid borik menggunakan sifat resonans plasmon permukaan setempat nanoplat emas. Doctoral thesis, Universiti Kebangsaan Malaysia.
|
Text
24p MARLIA MORSIN.pdf Download (1MB) | Preview |
Abstract
Resonans Plasmon Permukaan Setempat (LSPR) adalah satu fenomena optik hasil interaksi elektron bebas dengan gelombang elektromagnet cahaya pada permukaan nonozarah logam. Sifat LSPR nanozarah logam yang sangat sensitif kepada sifat dielektrik medium persekitaran menyebabkan fenomena ini digunakan secara meluas dalam pembuatan sensor. Tesis ini melaporkan kajian mengenai pembangunan suatu sistem sensor optik bagi mengesan kehadiran asid borik menggunakan LSPR nanoplat emas. Bahan penderia nanohablur emas telah ditumbuhkan di atas substrat kuartza menggunakan kaedah pertumbuhan berantara pembenihan dengan penekanan khusus untuk menghasilkan nanohablur emas berbentuk nanoplat. Menerusi variasi parameter penyediaan yang dilakukan, kaedah pertumbuhan berantara pembenihan ini berjaya menumbuhkan nanohablur emas dengan kepadatan hasil pertumbuhan yang optimum 93.5 ± 14.1 % dari luas permukaan keseluruhan dengan 63.5 % daripadanya adalah nanohablur yang berbentuk nanoplat. Sampel ini disediakan dengan merendam substrat dalam larutan poli-L-lisina (PLL) berkepekatan 5 % sebelum proses pembenihan, melakukan dua kali ulangan proses pembenihan dan tempoh masa lima jam proses pertumbuhan. Spektrum serapan optik dari sampel tersebut mempunyai dua puncak resonans, 548 nm dan 660 nm yang masing-masing berpadanan dengan resonans plasmon permukaan melintang (t-SPR) dan resonans plasmon permukaan membujur (l-SPR). Bagi tujuan pengesanan asid borik, satu sistem sensor dibangunkan terdiri dari satu gentian optik dupleks. Lengan pertama gentian optik itu diguna untuk menghantar cahaya dari satu sumber cahaya ke bahan penderia, manakala lengan kedua untuk menghantar cahaya yang dipantulkan oleh bahan penderia kepada spektrofometer optik. Penderiaan ditentukan dengan mengukur perubahan dua puncak resonans bahan penderia nanohablur emas t-SPR dan l-SPR dalam larutan asid borik dengan menggunakan air nyahion sebagai rujukan. Perubahan tersebut adalah anjakan kedudukan puncak dan keamatan puncak resonans. Didapati kepekaan sensor plasmonik nanohablur emas terhadap kehadiran asid borik adalah linear dengan peningkatan kepadatan nanohablur emas. Kepekaan penderiaan juga adalah linear dengan kepekatan asid borik dalam julat 0.01 mM sehingga 100 mM.
Item Type: | Thesis (Doctoral) |
---|---|
Subjects: | Q Science > QC Physics Q Science > QC Physics > QC170-197 Atomic physics. Constitution and properties of matter. Including molecular physics, relativity, quantum theory, and solid state physics |
Depositing User: | Mrs. Sabarina Che Mat |
Date Deposited: | 30 Sep 2021 06:58 |
Last Modified: | 30 Sep 2021 06:58 |
URI: | http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/1268 |
Actions (login required)
View Item |