Kajian ke atas kualiti udara dalaman koc tren bagi perkhidmatan monorel dan komuter

Mohamed Azri, Nafhatun Amirrah (2016) Kajian ke atas kualiti udara dalaman koc tren bagi perkhidmatan monorel dan komuter. Masters thesis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

[img]PDF
1689Kb

Abstract

Isu kualiti udara dalaman perlu diberi perhatian berikutan kebanyakan manusia pada zaman serba moden ini banyak menghabiskan masa di dalam ruangan yang tertutup seperti bangunan dan kenderaan berbanding di ruangan terbuka dengan udara persekitaran. Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui kualiti udara dalaman koc tren KTM Komuter dan KL Monorel. Kajian dilakukan menggunakan dua kaedah iaitu pengukuran fizikal dan pengukuran subjektif. Bagi pengukuran fizikal, kajian dilakukan pada jam 2.30 hingga 3.30 petang menggunakan alat monitor IEQ Chek selama enam minggu berturut – turut. Koc yang terlibat adalah koc dua, empat dan enam bagi KTM Komuter manakala koc satu, dua dan tiga bagi KL Monorel. Tiga parameter utama yang diukur adalah kepekatan karbon dioksida (CO2), suhu dan juga kelembapan relatif yang dianalisis menggunakan perisian IEQ Data Logger Viewer serta Microsoft Excel. Bagi pengukuran subjektif pula, pengedaran borang soal selidik secara rawak kepada pengguna tren KTM Komuter dan KL Monorel dilakukan. Data kemudian dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS). Keputusan menunjukkan kepekatan karbon dioksida koc satu minggu ketiga KL Monorel melebihi had boleh terima Tataamalan Industri Kualiti Udara Dalaman (DOSH 2010) dengan bacaan 1020ppm. Manakala bacaan parameter suhu koc satu minggu ketiga KL Monorel dan koc dua minggu pertama KTM Komuter melebihi had suhu (26oC). Keputusan kelembapan relatif pula keseluruhannya berada dalam julat yang ditetapkan (70%). Hasil maklumbalas 335 orang responden pula mendapati majoriti responden (68.2%) bersetuju simptom kesihatan penumpang terjadi disebabkan oleh kualiti udara yang lemah. Analisis skor min pula menunjukkan tahap keselesaan penumpang terhadap kualiti udara dalaman koc tren adalah sangat rendah akibat pengudaraan ketika waktu puncak (2.68, 2.86). Keputusan analisis korelasi pula menunjukkan aspek persekitaran dalaman (r=0.400, r=0.452) mempunyai nilai korelasi yang tinggi bagi kedua – dua koc tren. Manakala keputusan analisis regresi pula mendapati bahawa terdapat hubungan signifikan di antara kesemua pemboleh ubah peramal terhadap tahap keseluruhan kualiti udara dalaman. Hasil perbandingan pula menunjukkan terdapat hubungan yang kuat di antara kedua data parameter kualiti udara dalaman dan maklumbalas daripada responden. Kesimpulannya, kualiti udara dalaman koc tren memberikan kesan kepada penghuni dan persekitaran. Kajian ini diharapkan mampu meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan tren dan seterusnya memberikan tahap keselesaan baik kepada penumpang.

Item Type:Thesis (Masters)
Subjects:T Technology > TD Environmental technology. Sanitary engineering > TD881-890 Air pollution and its control
ID Code:8852
Deposited By:Mr. Mohammad Shaifulrip Ithnin
Deposited On:06 Feb 2017 09:11
Last Modified:06 Feb 2017 09:11

Repository Staff Only: item control page