Dasar kerajaan dan isu sekuriti makanan di Malaysia: Kajian analisis dokumen dan temubual

Damin, Zahrul Akmal (2016) Dasar kerajaan dan isu sekuriti makanan di Malaysia: Kajian analisis dokumen dan temubual. Doctoral thesis, Universiti Utara Malaysia.

[img]
Preview
Text
24p ZAHRUL AKMAL DAMIN.pdf

Download (1MB) | Preview

Abstract

Sekuriti makanan bersandarkan pertanian di Malaysia diberikan penekanan oleh kerajaan bagi memastikan pengeluaran makanan yang stabil. Penekanan ini juga dibuat bagi menjamin kebolehdapatan makanan di peringkat domestik. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan telah memberi tumpuan terhadap dasar pembangunan pertanian makanan walaupun berhadapan dengan tiga permasalahan iaitu perubahan fokus kerajaan daripada negara pertanian kepada perindustrian, pergantungan pengimportan makanan, dan perubahan iklim yang mampu mengancam sekuriti makanan. Dengan menggunakan analisis kualitatif, kajian ini bermatlamat, pertama, meneroka agenda dasar kerajaan berhubung sekuriti makanan dalam dokumen bajet. Kedua, menilai kesan pergantungan import makanan kepada pemantapan dasar sekuriti makanan negara. Terakhir, menganalisis strategi kerajaan dalam menangani isu perubahan iklim bagi memastikan sekuriti makanan terjamin. Oleh itu, kajian ini dalam rangka kerjanya meneliti usaha-usaha pembangunan pertanian makanan yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan sekuriti makanan terjamin. Reka bentuk kajian ini menggabungkan kaedah analisis dokumen dan temubual elit di mana 20 dokumen bajet tahunan daripada tahun 1994 hingga 2013 dianalisis selain menemubual tujuh orang informan. Hasil kajian menerusi analisis dokumen menunjukkan kerajaan telah memberi penekanan terhadap sekuriti makanan dengan memperkenalkan dasar galakan pertanian, program pembangunan pertanian, penyediaan bantuan kredit, pengaplikasian teknologi, pembangunan tanah, penyelidikan dan pembangunan, serta pengukuhan kemudahan. Kerajaan juga didapati telah mengambil pendirian untuk memantapkan dasar sekuriti makanan bagi mengurangkan kesan pergantungan terhadap import makanan melalui pemantapan hala tuju pertanian, peningkatan jaminan pengeluaran, pengupayaan kebolehan agensi, pengimbangan dagangan, dan pengembangan pemasaran. Dalam mengharungi perubahan iklim pula, kerajaan telah memperkenal strategi pemeliharaan dan pemuliharaan, pengurusan risiko, pembiayaan dana, penguatkuasaan undang-undang, serta kesedaran dan pendidikan bagi memastikan sekuriti makanan terjamin. Hasil dapatan ini telah disokong oleh pandangan daripada elit yang ditemubual. Diharapkan hasil kajian ini mampu membantu pembuat dasar untuk merangka dasar-dasar pertanian makanan yang kurang ditumpukan sebelumnya misalan di dalam hal pengukuhan infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan disamping pembangunan generasi petani muda. Hal ini penting bagi menggalakkan pengeluaran makanan dan pada masa yang sama melindungi negara daripada sebarang keadaan yang tidak diduga berkaitan dengan isu-isu sekuriti makanan. Kata Kunci: Kebolehdapatan Makanan, Pertanian Makanan, Sekuriti Makanan

Item Type: Thesis (Doctoral)
Subjects: H Social Sciences > HD Industries. Land use. Labor > HD9000-9999 Special industries and trades > HD9000-9495 Agricultural industries
Depositing User: Miss Afiqah Faiqah Mohd Hafiz
Date Deposited: 06 Sep 2021 08:26
Last Modified: 06 Sep 2021 08:26
URI: http://eprints.uthm.edu.my/id/eprint/897

Actions (login required)

View Item View Item