Kaedah pengesanan automatik salur darah retina untuk imej digital fundus

Nazari, Ain (2017) Kaedah pengesanan automatik salur darah retina untuk imej digital fundus. PhD thesis, Universiti Kebangsaan Malaysia.

[img]PDF
936Kb

Abstract

Retina ialah satu lapisan membran yang terletak pada belakang mata yang boleh menggambarkan keseluruhan imej salur darah menggunakan kamera fundus. Struktur salur darah pada retina mampu memberikan petunjuk penting untuk mengenal pasti penyakit-penyakit yang berkaitan mata dan badan. Penyakit berkaitan oftalmik dapat dibuktikan dengan perubahan diameter, sudut percabangan, dan kekerintingan pada salur darah retina. Oleh yang demikian, proses saringan digalakkan, namun begitu pemeriksaan yang dilakukan adalah secara manual dan memerlukan kepakaran, masa, dan kos yang tinggi kerana peralatan yang canggih. Suatu kaedah pengesanan salur darah secara automatik diperlukan untuk mendapatkan imej keseluruhan rangkaian salur darah yang lebih efektif berbanding pengesanan secara manual. Hasilnya, keseluruhan struktur salur darah retina dapat dikesan dengan cepat dan tepat. Walau bagaimanapun, pengesanan salur darah merupakan proses yang rumit kerana salur darah retina mempunyai rangkaian salur darah yang rumit dengan kepelbagaian saiz dan lebar. Selain itu, imej retina mempunyai hingar, kontra yang rendah, dan variasi kecerahan pada imej yang sama menyebabkan sukar untuk membezakan salur darah dan latar belakang. Kehadiran lingkaran cakera optik pada imej retina perlu diuruskan dengan baik kerana ia merupakan kawasan paling cerah dan pembuluh darah berasal daripada pusatnya. Objektif utama kajian ini adalah bagi membangunkan kaedah pengesanan automatik salur darah retina untuk imej digital fundus yang cekap. Ia mampu mengesan salur darah secara optimum bermula daripada lingkaran cakera optik sehingga hujung struktur salur darah. Penyelidikan ini mencadangkan tiga fasa utama, iaitu pra-pemprosesan, segmentasi rangkaian salur darah, dan pasca pemprosesan. Fasa pra-pemprosesan ini menyediakan imej retina yang lebih baik berbanding imej asal untuk meningkatkan kontra antara salur darah retina dan latar belakang. Seterusnya, fasa kedua merupakan segmentasi rangkaian salur darah menggunakan model berasaskan garis pengesanan sudut. Kaedah ini dapat mengesan piksel yang mewakili salur darah berdasarkan pencirian yang telah dilakukan. Akhir sekali, fasa yang ketiga ialah fasa pasca pemprosesan yang terbahagi kepada dua, iaitu pengesanan piksel dan penuras piksel berkepentingan. Proses pengesanan dijalankan dengan menggunakan kaedah heuristik dan Otsu terubah. Proses ini menukarkan imej skala kelabu kepada imej perduaan bagi pengesanan salur darah retina, manakala bagi proses penuras piksel berkepentingan, ia terbahagi kepada penyingkiran titik tidak berkepentingan dan memperbaiki piksel yang hilang. Proses ini dijalankan dengan menggunakan sudut pengagihan histogram untuk menentukan taburan yang diperoleh daripada piksel kejiranan. Maklumat ini kemudiannya digunakan untuk menyingkirkan piksel hingar dan menyambungkan piksel yang hilang yang juga merupakan sebahagian daripada salur darah. Dapatan kajian telah membuktikan kaedah yang dicadangkan berjaya mengesan salur darah dengan menunjukkan peningkatan ketepatan bagi pangkalan data DRIVE, HRF, dan STARE iaitu masing-masing 95.58%, 93.40%, dan 94.90%. Berbanding kaedah terdahulu yang hanya mencatatkan ketepatan sebanyak 94.15% dan 93.24% bagi pangkalan data DRIVE dan STARE. Kesimpulannya, kajian ini telah berjaya membangunkan kaedah pengesanan automatik salur darah retina untuk imej digital fundus.

Item Type:Thesis (PhD)
Subjects:T Technology > TA Engineering (General). Civil engineering (General) > TA1501-1820 Applied optics. Photonics
ID Code:10214
Deposited By:Mr. Mohammad Shaifulrip Ithnin
Deposited On:02 Jul 2018 10:54
Last Modified:02 Jul 2018 10:54

Repository Staff Only: item control page